CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday 4 July 2011

MINIT MESYUARAT AGUNG (BAKPUHA) 2008


Minit Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Pak Su Hj Zakaria

Tarikh            : 18/5/2008 (Ahad)
Masa              : 10.00 Malam
Tempat          : Kediaman Pn Syarifah Bt Zakaria, Kg Senduk, Taiping, Perak

Kehadiran:-

  1. Pn Rabiah Binti Mat (Ahli Kehormat)
  2. En Shafie Bin Zakaria ( Tuan Pengerusi)
  3. En Faizal Bin Kamarudin (Setiausaha)
  4. Pn Junaidah Binti Zakaria (Pemangku Bendahari)
  5. En Razali Bin Abu Bakar
  6. Pn Salmah Binti Zakaria
  7. Pn Sharifah Binti Zakaria
  8. Alfadhil Ustaz Anwar Ridwan Bin Zakaria
  9. Pn Azliza Alias
  10. En Rosdan Bin Jilani
  11. Ustaz Firdaus Bin Mohd Salleh P.P.T.
  12. Pn Zarina Bt Mohd Hasan
  13. En Mohd Hassan Bin Saad
  14. En Hanafi Bin Zakaria
  15. En Mohd Khairi Bin Mohd Hassan
  16. Pn Norliana Binti Mohd Asbi
  17. Pn Maznah Binti Zakaria
  18. Pn Mariam Binti Zakaria
  19. Ustaz Zainuddin Bin Zakaria
  20. Pn Norshima

Agenda 1 : Aluan-aluan Tuan Pengerusi


Tuan Pengerusi mewakili Badan Kebajikan Pak Su Zakaria mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pengantin baru (yang baru buat kenduri) iaitu En Zulkifli Bin Mohd Hassan serta isteri atas majlis perkahwinan yang telah diadakan. Tuan Pengerusi juga memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi atas kesempatan untuk semua ahli-ahli badan kebajikan berkumpul pada mesyuarat kali ini.

Agenda 2 : Pembentangan dan Pengesahan Laporan Kewangan berakhir 31/12/2007.

Pn Junaidah selaku Pemangku Bendahari membentangkan bahawa berakhir 31/12/2007 jumlah keseluruhan Harta Semasa Badan Kebajikan adalah sebanyak RM11,919-65 manakala jumlah yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM1,597-00.

Soalan daripada Ustaz Anwar berkenaan perolehan dividen saham sebanyak RM450-00.
Jawapan Pemangku Bendahari bahawa dividen tersebut daripada saham KOSIS iaitu sebanyak 15% daripada pelaburan pokok sebanyak RM3,000-00.

Cadangan: Us. Anwar Ridzuan mencadangkan agar laporan kewangan berakhir 31/12/2007 disahkan.
Sokongan : Pn Salmah Binti Zakaria daripada Kg Jambu menyokong agar laporan kewangan disahkan.

Agenda 3: Penakrifan Ahli Serta Yuran Bulanan bagi Ahli


-Setiausaha mencadangkan agar ahli diwajibkan kepada kalangan keluarga daripada susur galur keturunan Haji Zakaria Bin Johor yang telah bekerja melebihi 3 tahun atau yang telah mendirikan rumah tangga yang mana terdahulu. Syarat tersebut tidak memprejudiskan mana-mana bakal ahli yang secara sukarela ingin menyertai/mendaftar diri sebagai ahli lebih awal lagi.

-Bagi pasangan kepada ahli akibat perkahwinan akan menjadi ahli bersekutu dan mendapat menfaat yang sama dengan ahli biasa. Keahlian ahli bersekutu akan gugur akibat perceraian sebaliknya akan kekal akibat kematian ahli prinsipal.

-Pn Rabiah Binti Mat dicadangkan supaya menjadi ahli kehormat dan dikecualikan daripada yuran ahli. Cadangan ini telah diterima sebulat suara oleh ahli-ahli.

-Us Anwar Ridzuan mencadangkan agar bayaran yuran bulanan diseragamkan mulai Jun, 2008 sebanyak RM10-00 bagi setiap ahli. Bagi ahli-ahli yang telah membayar yuran untuk bulan Jun dan ke atas berdasarkan kadar lama telah bersetuju untuk mendermakan lebihan yuran tersebut dan tidak menuntut pulangan semula.
Pn Salmah Binti Zakaria menyokong cadangan di atas dan disokong oleh semua ahli sebulat suara.

Agenda 4: Menfaat Ahli Daripada Sumbangan Tabung Badan Kebajikan

1)      Kecemerlangan Akademik

Setiausaha mencadangkan agar insentif kewangan diberikan kepada ahli atau anak-anak ahli yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM. Kecemerlangan dalam peperiksaan-peperiksaan yang dinyatakan ditakrifkan seperti berikut:-

a)            UPSR – memperolehi sekurang-kurangnya 4A 1B dalam UPSR DAN memperolehi sekurang-sukurangnya 4A daripada 8 mata pelajaran dalam peperiksaan UPKK ATAU Lulus Ujian PAFA.

b)            PMR – memperolehi sekurang-kurangnya 5A DAN mata pelajaran Agama Islam adalah salah satu matapelajaran yang bergred A.

c)            SPM – memperolehi sekurang-kurangnya 5A DAN mata pelajaran Pendidikan Islam atau matapelajaran berkaitan Agama Islam adalah salah satu matapelajaran bergred A.

d)           STPM- memperolehi sekurang-kurangnya 5 Principle C.

e)            STAM- memperolehi keputusan “Mumtaz” atau Cemerlang.

Ahli-ahli adalah sebulat suara bersetuju berkenaan penetapan standard kecemerlangan seperti yang dicadangkan.

Bagi nilai sumbangan yang akan diberikan oleh Tabung Kebajikan adalah dipersetujui oleh ahli-ahli seperti berikut:-

a)      UPSR – Minimum (4A1B) sumbangan sebanyak RM40-00 dan bagi keputusan 5A adalah RM50-00;

b)      PMR – Minimum 5A sumbangan sebanyak RM50-00 dan tambahan RM10-00 lagi bagi setiap tambahan gred “A” diatas bilangan “A” minimum tersebut;

c)      SPM – Minimum 5A sumbangan adalah sebanyak RM50-00 dan tambahan RM20-00 lagi bagi setiap tambahan gred “A” di atas bilangan “A” minimum tersebut;

d)     STPM – Kadar sumbangan insentif akan diberikan berdasarkan gred setiap mata pelajaran seperti berikut:-
i)                    Principal C= RM20-00
ii)                  Principal B= RM30-00
iii)                Principal A= RM40-00

e)        STAM- Kadar RM200-00 akan diberikan kepada calon-calon yang memperolehi keputusan “Mumtaz”.

2)      Sumbangan Melanjutkan Pelajaran di IPTA/S

Ahli-ahli adalah sebulat suara bersetuju bahawa sumbangan akan diberikan kepada ahli atau anak ahli yang melanjutkan pelajaran ke IPTA/S untuk sebarang peringkat pengajian dan sumbangan akan diberikan untuk satu (1) kali sahaja bagi setiap ahli atau anak ahli berkenaan.

Bagi kadar sumbangan yang akan diberikan, En Razali Bin Abu Bakar mencadangkan agar kadar samarata tanpa mengira peringkat pengajian diberikan iaitu RM200-00. Cadangan tersebut disokong oleh Pn Mariam bt Zakaria.

3)      Khairat Kematian

i). Ahli-ahli adalah sebulat suara bersetuju supaya sumbangan RM500-00 diberikan jika berlaku kematian ahli atau ahli bersekutu dan sumbangan tersebut akan diberikan kepada waris ahli tersebut.

ii). Ahli-ahli juga bersetuju jika berlaku kematian terhadap keluarga terdekat ahli, (yang ditakrifkan sebagai anak atau ibu atau bapa yang bukan dari kalangan ahli badan kebajikan Pak Su Keria) sumbangan RM100-00 akan diberikan kepada ahli tersebut.

iii) Sekiranya berlaku kematian bagi keluarga terdekat ahli yang juga merupakan ahli badan kebajikan Pak Su Keria, ahli tersebut tidak berhak keatas sumbangan seperti yang dinyatakan dalam perenggan (ii) di atas.

4)      Sumbangan sakit kronik

Setiausaha mencadangkan agar takrifan penyakit kronik diadaptasi daripada 36 jenis penyakit kritikal (critical illness) seperti yang telah dinyatakan dalam polisi syarikat-syarikat insurans. Ahli-ahli secara dasarnya bersetuju dengan cadangan ini. Ustaz Firdaus P.P.T pula mencadangkan agar 36 jenis penyakit yang dinyatakan tersebut tidak menjadi konklusif dan muktamat. Sekiranya ahli terlantar sakit yang tidak dapat disahkan oleh pakar perubatan dan pada pandangan Jawatankuasa Badan Kebajikan sakit tersebut adalah kronik, sumbangan patut diberikan juga.

Sebulat suara adalah bersetuju sumbangan sebanyak RM200-00 diberikan kepada ahli yang telah menjadi ahli melebihi tempoh 24 jam dari tarikh jatuh sakit kronik tersebut.

Bagi cadangan untuk sumbangan kemasukkan ahli ke wad, En Hanafi Bin Zakaria mencadangkan agar ianya patut ditangguhkan memandangkan kadar kewangan tabung yang belum kukuh. Ahli-ahli bersetuju supaya usul ini ditangguhkan kepada mesyuarat yang akan datang.

En Anwar Ridzuan Zakaria mencadangkan agar peruntukkan perubatan bagi Ahli Kehormat diluluskan tanpa had. Cadangan ini diterima sebulat suara oleh ahli-ahli badan.

5)      Sumbangan Hadiah Kelahiran Anak Ahli

Ahli-ahli adalah sebulat suara bersetuju sumbangan RM50-00 akan diberikan kepada ahli yang menyambut kelahiran anak.Sumbangan tersebut hanya diberikan untuk satu (1) kali kelahiran sahaja di sepanjang hayat ahli berkenaan.





6)      Sumbangan Kenduri Perkahwinan

Ahli-ahli sebulat suara bersetuju supaya sumbangan perkahwinan sebanyak RM100-00 diberikan kepada ahli yang telah menjadi ahli melebihi tempoh 6 bulan dari tarikh perkahwinan beliau.

Pn Junaidah menggesa agar sumbangan diberikan hanya untuk perkahwinan kali pertama sahaja dan tidak sama sekali untuk poligami. Gesaan ini dakwa beliau, bukanlah bertujuan untuk tidak mengiktiraf poligami seperti yang diamalkan oleh Rasulullah tetapi memandangkan rata-rata yang ingin mengamalkan poligami adalah terdiri daripada golongan yang berkemampuan. Ahli-ahli bersetuju bahawa sumbangan perkahwinan hanya untuk perkahwinan pertama ahli sahaja.

Ahli-ahli juga bersetuju bahawa tiada sumbangan daripada Tabung Kebajikan diberikan kepada perkahwinan anak-anak ahli yang bukan menjadi ahli Badan Kebajikan.

7)      Pinjaman Tanpa Faedah (Qardul Hassan)

Ahli-ahli adalah bersetuju supaya tabung kebajikan meluluskan dengan segera pinjaman tanpa faedah (Qardul Hassan) untuk pinjaman kecemasan maksimum RM600-00 kepada ahli-ahli yang dalam kecemasan memerlukan pinjaman. Tempoh bayaran balik dicadangkan supaya ditetapkan maksimum 12 bulan bagi pinjaman segera sebanyak RM600-00 iaitu sebulan RM50-00.

Bagi pinjaman melebihi kadar RM600-00, kadar maksimum yang dipersetujui oleh ahli-ahli adalah sebanyak RM2,000-00 dan tempoh bayaran balik adalah dipersetujui supaya ditetapkan maksimum 40 bulan bagi pinjaman maksimum RM2000-00 (RM50 sebulan).

Bagi pinjaman bukan kecemasan melebihi RM600-00, adalah dipersetujui bahawa kelulusan pinjaman tersebut adalah tertakluk kepada kadar kelulusan pinjaman maksimum yang dikeluarkan oleh Badan Kebajikan Pak Su Keria sebanyak RM2000-00 dalam tempoh setahun.


Agenda 5: Meluluskan Had Pelaburan Tabung Kebajikan


Ahli-ahli adalah bersetuju secara sebulat suara bahawa had maksimum untuk tujuan pelaburan adalah pada kadar 40% daripada baki tunai yang terkumpul dalam tabung kebajikan Pak Su Keria dan Jawatankuasa Badan yang dilantik diberikuasa untuk menentukan jenis-jenis pelaburan yang akan dilaburkan.

Agenda 6: Perlantikan Ahli Jawatankuasa Baru Sesi 2008/2009


Ustaz Firdaus P.P.T mencadangkan agar 5 orang Jawatankuasa dilantik terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan 2 orang ahli jawatankuasa. Cadangan ini disokong sebulat suara.

Ahli-ahli sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan En Shapie Bin Zakaria sebagai Pengerusi atas khidmat cemerlang yang ditunjukkan oleh beliau selama ini. Begitu juga dengan setiausaha. Walaupun berlaku tolak menolak diantara sesama ahli berkenaan dengan jawatan bendahari, akhirnya Pn Junaidah Binti Zakaria bersetuju dengan cadangan ahli-ahli supaya beliau dilantik menjadi Bendahari Badan Kebajikan Pak Su Keria. En Hanafi yang bersetuju untuk membantu beliau mengeluarkan wang di bank sedikit sebanyak membuka hati beliau untuk menerima jawatan itu. Semoga beliau dirahmati Allah kerana sanggup memikul beban yang berat ini walaupun tanpa ganjaran duniawi…..

Jawatankuasa Badan Kebajikan Pak Su Keria 2008/2009


Pengerusi                    : En Shapie Bin Zakaria
Setiausaha                  : En Faizal Bin Kamaruddin
Bendahari                   : Pn Junaidah Binti Zakaria
Ahli Jawatankuasa     : 1) Ustaz Firdaus Bin Mohd Salleh P.P.T.
                                     2) En. Hanafi Bin Zakaria


Agenda 7 : Usul-usul Berbangkit


Pn Junaidah mengusulkan supaya Badan Kebajikan memperuntukkan peruntukan sebanyak RM500-00 bagi Program Hari Keluarga setiap dua (2) tahun sekali. Cadangan ini diterima dan dipersetujui sebulat suara.

En Hanafi mencadangkan agar peruntukkan program hari keluarga tersebut dibawa ke hadapan jika hari keluarga pada tahun berkenaan tidak jadi dibuat. Cadangan ini dipersetujui sebulat suara,

Ustaz Firdaus P.P.T mengusulkan agar disyaratkan kepada ahli-ahli untuk mendokong perjuangan Pakatan Rakyat secara amnya atau kepada Parti Islam SeMalaysia khasnya bagi mengelakkan perpecahan atau percanggahan pemikiran akibat perbezaan ideologi politik dikalangan ahli-ahli. Tambah beliau lagi yang juga merupakan anak buah kepada Dato’ Jamry Suri, atas semangat Pakatan Rakyat dan “Makkal Sakhti” baru-baru ini, adalah wajar bagi semua ahli-ahli menerima Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah. Usul Us Firdaus P.P.T disambut baik oleh Tuan Pengerusi dan akan diperincikan lagi. Rata-rata ahli teruja dan kagum dengan usul Us Firdaus P.P.T tersebut.   


Agenda 8: Ucapan Penagguhan


Pn Junaidah Bt Zakaria (Bendahari) menggesa agar semua ahli-ahli supaya lebih bertanggungjawab dan mempunyai harga diri (sifat malu) dalam menunaikan tanggungjawab membayar yuran bulanan. Ujar beliau, masa dan tenaga banyak dibazirkan oleh beliau dalam membuat peringatan demi peringatan kepada ahli-ahli yang culas tegar dalam membuat bayaran yuran bulanan. Pujian patut diberikan kepada En Khairi Bin Mohd Hassan yang pada saban tahun membuat bayaran yuran sekaligus untuk setahun. Oleh demikian, Pn Bendahari merayu kepada ahli-ahli yang berkemampuan untuk membuat bayaran sekaligus untuk setahun pada awal tahun depan dan tahun-tahun berikutnya.

Pn Junaidah juga menyeru kepada ahli-ahli supaya berkempen dan memprosikan keahlian Badan Kebajikan Pak Su Keria ini kepada anak masing-masing yang sudah bekerjaya.

Ustaz Anwar Ridzuan melahirkan rasa kecewanya kerana ada beberapa maklumat yang tidak disampaikan dengan sempurna kepada ahli-ahli termasuklah beliau. Beliau menggesa agar sistem penyampaian maklumat diperbaiki dan dimantapkan lagi supaya tidak ada lagi timbul tanda tanya dikalangan ahli-ahli. 

Tuan Pengerusi menangguhkan mesyuarat agung kali ini tepat jam 12.30 malam.


Disediakan oleh:


t.t
……………………………
Setiausaha



0 comments:

Post a Comment